Tuesday, July 29, 2008

Once a while..


Pagi tadi tengah sembang-sembang YM dengan 'sahabat lama' terkeluar cerita pasal lagu.Kebetulan pula aku memang music lover, memang kena sangat lah. hehe..tapi album Nazrey ex-Raihan di atas bukanlah termasuk dalam kategori yang aku suka sewaktu muda belia dulu..cuma pernahlah masa kat Smaasza, Batu Buruk tahun 1995-1996 aku bergaul juga dengan geng-geng berserban dan berjubah. Sekali sekala diorang perform lagu-lagu kumpulan The Zikr yang famous pada masa itu. (Masa tu Raihan belum wujud) The Zikr ni kalau tak silap aku, kumpulan yang ditubuhkan oleh ahli-ahli Al-Arqam yang sebelum tu belum lagi diharamkan oleh kerajaan. Oh yer, kawan-kawan berserban dan berjubah pada zaman sekolah dulu termasuk dalam aliran Thanawi, kitorang plak dari aliran sains. Apa salahnya geng sains campur dengan geng Thanawi..hehehe..diorang perform waktu ada majlis-majlis rasmi sekolah.
So tetiba tahun ni Si Nazrey ni keluarkan balik album Nostalgia Memori The Zikr untuk halwa telinga peminat mereka dulu. Aku baca kat paper terus sambar sekeping CD dengan harga RM28..memang sedap lagu-lagu nih..korang try lah!! Sure insaf punya lah dengar lagu-lagu seperti hehehe:

1. Secerah Pawana ( peberet bini aku)
2. Perantau (peberet aku)
3. Tak Seindah Sentuhan Mata
4. Wahai Kaum Muslimin..

ahh..banyak lagi lah!..

p/s: sekali sekala layan nasyid...orait gak laa!

~peja~!

Wednesday, July 23, 2008

Durian, anyone ?

Musim durian laa sekarang...sodapp!





Gambar2 di atas (kecuali yg last) aku snap masa belasah durian kt Pilah week-N lepass...heheh

~peja~

Friday, July 18, 2008

Seekor Labah-Labah Dalam Lubang Skru


Assalamualaikum saudara,



Apa khabar saudara? Semoga keimanan kita sama naiknya dengan harga petrol yang melambung J. Subhanallah, banyak yang sedang berlaku dalam persekitaran kita sampai kita pun tidak sempat hendak menebak dan memahami setiap satunya dengan wajar. Bagaimana reaksi saudara menghadapi kenaikan harga petrol?


Hmm... ada satu kisah yang menarik, ada seorang abang kami nak baiki radionya yang rosak. Dah lama radio tu rosak, dia saja yang bertangguh nak baiki. Akhirnya dia melapangkan masa untuk baiki radio tu. Masa abang kami nak masukkan pemutar skru dalam lubang skru di belakang radio tu dia terhenti sekejap. ”Ya, Allah, ada labah-labah dalam ni. Begitu banyak tempat dalam dunia ni kenapalah lubang skru ni yang dia pilih?” abang kami puas mengetuk-ngetuk supaya labah-labah tu keluar dari lubang skru. Kami terfikir. Hanya kerana harga petrol naik, semua orang melenting seolah-olah Tuhan tidak wujud lagi. Ada yang sampai berani kata ‘matilah aku kalau harga minyak naik lagi.’


Saudara pernah dengar kisah semut dalam zaman Nabi Sulaiman? Kami ceritakan sedikit sebagai ingatan. Kami memang suka bercerita pun. Dan dalam keadaan semua orang tegang ni, sekurang-kurangnya cerita boleh mengendurkan keadaan. Dalam zaman Nabi Sulaiman baginda bertanya seekor semut apakah makanan semut? Jawab semut dia hanya makan sebiji gandum sebulan. Nabi Sulaiman pun bawa semut balik ke istana dan letak semut dalam peliharaan baginda. Baginda berikan sebiji gandum kepada semut itu. Selepas sebulan, Nabi Sulaiman datang dan lihat masih ada separuh biji gandum yang tertinggal. Nabi Sulaiman pun berasa tidak senang hati. ”Kenapa kamu berbohong wahai semut?” tanya Nabi Sulaiman.


Saudara tahu apa jawapan semut? Kata semut memang dia makan sebiji gandum sebulan. Dulu dia dalam peliharaan Allah, dia bebas melata sana-sini mencari rezeki untuknya dan pasti Allah cukupkan dengan nilai sebiji gandum. Tapi sekarang dia dalam peliharaan Nabi Sulaiman dan terkurung pula. Dia takut Nabi Sulaiman terlupa menghantar sebiji gandum untuknya maka dia hanya makan separuh daripada yang diberikan oleh Nabi Sulaiman.


Kami rasa takjub saudara. Bagaimana haiwan yang tidak punya akal boleh begitu bertawakkal kepada Allah dalam urusan rezekinya. Labah-labah tentu tidak akan buat sarang dalam lubang skru jika dia tidak yakin Allah akan menghantar rezekinya ke situ. Jika melihat kisah semut pula selagi kita merdeka, maka kita tidak perlu risau, Allah akan mencukupkan rezeki kita. Kita hanya perlu berusaha mencarinya. Janganlah hanya kerana harga petrol naik kita jadi keliru sehingga terlupa segala tauhid rububiyyah yang tertanam dengan kalimah syahadah. Rezeki kita dalam tangan Allah. Biarlah kita memiliki rezeki yang berkat. Walaupun tidak banyak tetapi cukup.


Di kampus kami ada seorang pegawai yang dari dahulu berbasikal. Dia antara orang yang tetap gembira walaupun harga petrol naik. Ya, tentulah kerana dia naik basikal dan tak perlu guna petrol. Mungkin itu yang semua orang fikir. Tapi apa yang kami nampak, dia telah dari mula mengambil jalan memisahkan dirinya daripada perkara yang menjadi kebiasaan. Ketika semua pegawai berkereta besar, kenapa dia memilih basikal? Dia telah mewujudkan dunianya sendiri yang tidak bergantung sangat dengan perubahan mendadak persekitaran.


Kita juga harus belajar memisahkan diri dan emosi kita daripada sesuatu budaya yang dipaksa ke dalam diri. Kita disogokkan dengan idea bahawa kenaikan harga petrol akan menjejaskan seluruh kehidupan kita kerana harga petrol mempengaruhi segala yang lain. Begitu juga kita disogokkan dengan kekurangan beras akan memudaratkan kita kerana beras makanan ruji rakyat Malaysia.


Kita telah secara tidak sedar membeli budaya yang ‘dijual’ dan ‘dipromosikan’ kepada kita. Saudara, kami rasa kuasa dalam tangan kita lebih besar daripada itu. Kita ada hak untuk membuat perubahan dan perubahan mesti bermula daripada kita, daripada diri kepada keluarga, kepada masyarakat seterusnya kerajaan dan negara.Sampai sini dahulu saudara. Sekadar cetusan rasa kami agar saudara tenang dalam menghadapi gelombang harga petrol yang tidak menentu.


Yakinlah, Allah tidak mengurangi rezeki kita sedikitpun. Salam hormat penuh takzim. Wassalam.

J-Card Day @ JUSCO Seremban2

Malam tadi aku & otherhalf gerak ke Jusco Seremban2 gara-gara J-Card Member Special..1st time try :-).. Sesaja sekali sekala jalan-jalan cari pasal ..hehe! Giler ramai manusia..






Uniknya Malaysia!

Tuesday, July 15, 2008

Debat Anwar-Shabery. Apa kesimpulannya!


Banyak kesimpulannya!

1. Hujan Shabery lemah dan bersifat peribadi

2. Hujah Anwar bernas dan berfakta

3. Shabery tiada karisma sebagai pemimpin

4. Anwar ada karismatik, idealis, memukau

5. Shabery tidak dituduh meliwat

6. Anwar kena tuduh meliwat ( tgk muka tgh berdebat x logik org tua nih boleh meliwat ) MUSTAHIL! Kaki main 'bontot' kelu lidah untuk berdebat!
(
( Ada sesiapa berani menyanggah dipersilakan! ))

p/s: terpulanglah kepada audiens untuk menilai debat sihat ini. Mudah-mudahan Malaysia kekal makmur dan sentosa.

Sunday, July 13, 2008

Sebab dah ada permintaan dari SALIMI!

Maka aku perturunkan ulasan buku Blogger, A.Kadir Jasin Volume 1 di sini..hehe!

Selamat Membaca!
*************************************************************************************

Ulasan buku: Blogger, A.Kadir Jasin

By : Mohd Faizal Aziz

Teknologi komputer dan internet sekali lagi memberi peluang kepada mereka yang memanfaatkannya sebaik mungkin ke jalan yang betul seterusnya memberikan manfaat yang bukan sedikit kepada orang ramai.

Terbaru ialah buah tangan seorang penulis, pemberita, pemikir, pengkritik dan wartawan yang tidak asing lagi yang telah sekian lama menghambakan diri dalam dunia penulisan sejak tahun 1969 sehingga kini. Buah tangan yang dimaksudkan ialah sebuah buku berjudul ”Blogger A. Kadir Jasin”. Di dalam negara nama A Kadir Jasin tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia akhbar dan penerbitan.

Dalam sejarah kerjaya, beliau pernah menyandang jawatan penting dalam dunia penerbitan dan akhbar antaranya ialah Editor Kumpulan NST Sdn Bhd, Ketua Editor NSTP Sdn Bhd dan Ketua Editor sebuah syarikat penerbitan terkenal , Berita Publishing Sdn Bhd.

Beliau pernah mencurahkan buah fikiran dan ideanya berbentuk tulisan dalam sebuah kolum yang tersendiri “Other Thots” di dalam majalah Malaysian Business sewaktu ketika dahulu. Selain itu beliau juga merupakan penulis beberapa buah buku yang menarik seperti Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006) dan terkini ialah Blogger A. Kadir Jasin (2006).

A.Kadir Jasin telah mengambil inisiatif untuk melebarkan tulisan dan pandangan beliau melalui blog beliau di internet (www.kadirjasin.blogspot.com) ke dalam bentuk buku untuk dikongsi bersama dengan pembaca di Malaysia dengan judul ”Blogger A Kadir Jasin”.

Buku kecil terbitan 2006 setebal 241 halaman ini dimulakan dengan pengenalan tentang budaya menulis dan salah satu produk kecanggihan teknologi internet iaitu blog. Blog ataupun weblog menurut takrifan wikipedia, sebuah ensiklopedia percuma dalam talian merupakan laman web yang memuatkan bahan-bahan yang berbentuk dan bergaya jurnal atau diari oleh individu atau berkumpulan.

Penulis blog yang dikenali sebagai blogger akan memuatkan hasil karya dan tulisan mereka yang dinamakan tampalan (posting) ke dalamnya mengikut gaya dan kemampuan mereka yang tersendiri.

Penulisan di blog atau weblog ini bersifat rencam dan pelbagai. Ada yang menulis sekadar suka-suka tanpa ada sebarang tujuan tertentu atau sekadar untuk tidak tertinggal di belakang dalam kelimpahan teknologi internet. Ada yang menulis sekadar untuk mencari kawan dan hiburan serta mencatat aktiviti harian mereka. Ada juga penulis blog yang sudah dikenali ramai di luar, namun masih menggunakan saluran alternatif melalui weblog untuk meyampaikan buah fikiran, gagasan dan idea mereka melalui medium internet. Kebanyakan mereka ini mempunyai peminat dan penggemar setia yang selalu mengikuti perkembangan tulisan penulis-penulis ini baik di luar mahupun di dalam talian.

Ini lah yang dilakukan oleh A. Kadir Jasin. Beliau yang sudah pun mempunyai nama besar di luar menggunakan medium ini untuk terus menyampaikan pandangan dan pendapat beliau melalui teknologi internet yang mempunyai pengikutnya yang tersendiri dan hasilnya ialah sebuah blog yang segar, menarik, kritis dan kadang kala menyengat. Gaya tulisan beliau yang cermat, spontan, mesra dan bermaklumat terus meruntun minat pembaca untuk terus mengikuti tulisan-tulisan beliau lewat blog di internet.

Selain itu menurut penulis, blog merupakan media baru penyampaian selain akhbar, radio dan televisyen hasil dari pekembangan teknologi ICT sejak tahun 1990-an lagi. Tulisan berbentuk blog adalah lebih murah, cepat dan mudah serta boleh dilakukan di mana-mana sahaja selagi ada kemudahan telekomunikasi internet. Dengan cara ini beliau boleh terus berinteraksi dengan pembaca dengan lebih pantas dan mesra.

A Kadir Jasin memulakan tulisan pertama beliau di blog pada 28hb Februari 2006 dengan judul ”Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak”. Sejak itu beliau telah menulis lebih dari 130 buah rencana berbahasa melayu dan inggeris mengenai pelbagai topik dan isu yang berlaku di dalam negara. Buku yang memuatkan tulisan beliau ini merupakan jilid pertama dari dua jilid yang akan diterbitkan. Di dalam keluaran ini dimuatkan 16 rencana tulisan beliau dengan pelbagai judul menarik dengan 4 daripadanya berbahasa Inggeris dengan tajuk ”Apologize and You Shall be Pardoned”, Can We Not Be a Vulgar?’, Cut Down on the Debate” dan ”Every Generation Has Its Heroes”. 12 lagi kupasan beliau yang mendapat perhatian pembaca menerusi tajuk-tajuk antaranya ialah “Rakyat dan Kakitangan Awam Sama Penting”, PM Janji Agihan Adil”, Bumiputera Terus Ketinggalan dan “Apabila Ahli Politik Bergegas ke Mahkamah”.

Apa yang menarik ialah, beliau turut memuatkan komentar-komentar bernas dari pembaca yang berkongsi pendapat dan pengalaman mereka tanpa sebarang suntingan disebabkan limitasi teknikal pelayan web blogger. Namun begitu kebanyakan komen dan pendapat ini dilakukan dengan jujur dan berhemah sesuai dengan saranan penulis supaya setiap pembaca dan pengkritik hendaklah berani dan jujur dalam memperkatakan sesuatu.

Buku ini merupakan produk yang baik hasil dari kecanggihan teknologi internet yang ditangani dengan berkesan oleh seorang penulis berwibawa dan berkarisma seperti A Kadir Jasin. Ia sesuai dibaca oleh semua golongan yang berminda terbuka dan berminat dengan isu-isu semasa yang berlegar sekitar Malaysia tanah air tercinta.

Tajuk buku : Blogger A. Kadir Jasin

Penulis : A. Kadir Jasin

Penerbit : Berita Publishing Sdn Bhd

Terbitan : 2006

Halaman : 233 muka surat

Pengulas : M_Faizal

"Agak-agak kalau aku tulis macam ni BM masa PMR dulu buleh dapat A tak dengan Cikgu Fauziah".. ;-)

p/s: Oh yer, Majalah Dewan Budaya bulan Julai 2008, ada rencana aku di muka surat 4 bertajuk Budaya Saintifik di Makmal Penyelidikan. Maklumlah, keje aku kat lab, tergerak hati nak tulis...heheh!

Tuesday, July 8, 2008

Riuh Rendah Politik Malaysia! Lebih Baik Baca Buku!


Kepada peminat cerita-cerita politik hasil renungan seorang penganalisis politik dan penulis terkemuka tanahair, A.Kadir Jasin boleh lah dapatkan buku ini. Awal tahun lepas, jilid 1 buku ini diterbitkan, aku sambar sebuah. Tahun ini, keluar lagi satu jilid 2. Buku kini sebenarnya kompilasi beberapa artikel menarik menerusi blog beliau www.kadirjasin.blogspot.com.
Tengah-tengah panas isu-isu politik tanahair, bagus juga kalau kita selak-selak buah fikiran mereka yang dah bergelumang dalam dunia persuratan dan politik sejak sekian lama.

Ini adalah promosi percuma buku ini memandangkan penulisnya adalah seorang yang tidak mengambil untung dari tulisan kritis beliau di blog melainkan setelah diibukukan. Mudah-mudahan usaha Datuk A Kadir Jasin diberikan ganjaran Tuhan untuk kebaikan negara kita..

p/s: Aku ada tulis ulasan buku ini dengan niat untuk dihantar ke suratkhabar. Lepas 2-3 kali baca balik, macam x sedap jer..cancel lah nak hantar..hehe! Tapi kalau ada sesiapa 'gelenya' nak baca ulasan aku berkenaan buku ini dalam bahasa yang lebih bertamadun, sila royak laa yer..nanti aku pos!!hehe..yaa auw auw!!

~peja~