
Assalamualaikum saudara,
Apa khabar saudara? Semoga keimanan kita sama naiknya dengan harga petrol yang melambung J. Subhanallah, banyak yang sedang berlaku dalam persekitaran kita sampai kita pun tidak sempat hendak menebak dan memahami setiap satunya dengan wajar. Bagaimana reaksi saudara menghadapi kenaikan harga petrol?
Hmm... ada satu kisah yang menarik, ada seorang abang kami nak baiki radionya yang rosak. Dah lama radio tu rosak, dia saja yang bertangguh nak baiki. Akhirnya dia melapangkan masa untuk baiki radio tu. Masa abang kami nak masukkan pemutar skru dalam lubang skru di belakang radio tu dia terhenti sekejap. ”Ya, Allah, ada labah-labah dalam ni. Begitu banyak tempat dalam dunia ni kenapalah lubang skru ni yang dia pilih?” abang kami puas mengetuk-ngetuk supaya labah-labah tu keluar dari lubang skru. Kami terfikir. Hanya kerana harga petrol naik, semua orang melenting seolah-olah Tuhan tidak wujud lagi. Ada yang sampai berani kata ‘matilah aku kalau harga minyak naik lagi.’
Saudara pernah dengar kisah semut dalam zaman Nabi Sulaiman? Kami ceritakan sedikit sebagai ingatan. Kami memang suka bercerita pun. Dan dalam keadaan semua orang tegang ni, sekurang-kurangnya cerita boleh mengendurkan keadaan. Dalam zaman Nabi Sulaiman baginda bertanya seekor semut apakah makanan semut? Jawab semut dia hanya makan sebiji gandum sebulan. Nabi Sulaiman pun bawa semut balik ke istana dan letak semut dalam peliharaan baginda. Baginda berikan sebiji gandum kepada semut itu. Selepas sebulan, Nabi Sulaiman datang dan lihat masih ada separuh biji gandum yang tertinggal. Nabi Sulaiman pun berasa tidak senang hati. ”Kenapa kamu berbohong wahai semut?” tanya Nabi Sulaiman.
Saudara tahu apa jawapan semut? Kata semut memang dia makan sebiji gandum sebulan. Dulu dia dalam peliharaan Allah, dia bebas melata sana-sini mencari rezeki untuknya dan pasti Allah cukupkan dengan nilai sebiji gandum. Tapi sekarang dia dalam peliharaan Nabi Sulaiman dan terkurung pula. Dia takut Nabi Sulaiman terlupa menghantar sebiji gandum untuknya maka dia hanya makan separuh daripada yang diberikan oleh Nabi Sulaiman.
Kami rasa takjub saudara. Bagaimana haiwan yang tidak punya akal boleh begitu bertawakkal kepada Allah dalam urusan rezekinya. Labah-labah tentu tidak akan buat sarang dalam lubang skru jika dia tidak yakin Allah akan menghantar rezekinya ke situ. Jika melihat kisah semut pula selagi kita merdeka, maka kita tidak perlu risau, Allah akan mencukupkan rezeki kita. Kita hanya perlu berusaha mencarinya. Janganlah hanya kerana harga petrol naik kita jadi keliru sehingga terlupa segala tauhid rububiyyah yang tertanam dengan kalimah syahadah. Rezeki kita dalam tangan Allah. Biarlah kita memiliki rezeki yang berkat. Walaupun tidak banyak tetapi cukup.
Di kampus kami ada seorang pegawai yang dari dahulu berbasikal. Dia antara orang yang tetap gembira walaupun harga petrol naik. Ya, tentulah kerana dia naik basikal dan tak perlu guna petrol. Mungkin itu yang semua orang fikir. Tapi apa yang kami nampak, dia telah dari mula mengambil jalan memisahkan dirinya daripada perkara yang menjadi kebiasaan. Ketika semua pegawai berkereta besar, kenapa dia memilih basikal? Dia telah mewujudkan dunianya sendiri yang tidak bergantung sangat dengan perubahan mendadak persekitaran.
Kita juga harus belajar memisahkan diri dan emosi kita daripada sesuatu budaya yang dipaksa ke dalam diri. Kita disogokkan dengan idea bahawa kenaikan harga petrol akan menjejaskan seluruh kehidupan kita kerana harga petrol mempengaruhi segala yang lain. Begitu juga kita disogokkan dengan kekurangan beras akan memudaratkan kita kerana beras makanan ruji rakyat Malaysia.
Kita telah secara tidak sedar membeli budaya yang ‘dijual’ dan ‘dipromosikan’ kepada kita. Saudara, kami rasa kuasa dalam tangan kita lebih besar daripada itu. Kita ada hak untuk membuat perubahan dan perubahan mesti bermula daripada kita, daripada diri kepada keluarga, kepada masyarakat seterusnya kerajaan dan negara.Sampai sini dahulu saudara. Sekadar cetusan rasa kami agar saudara tenang dalam menghadapi gelombang harga petrol yang tidak menentu.
Yakinlah, Allah tidak mengurangi rezeki kita sedikitpun. Salam hormat penuh takzim. Wassalam.
2 comments:
may i know who wrote this?
yadoq
a friend not a foe
Post a Comment